Like Fanpage : Follow twitter :

Berhabis duit untuk cantik – Terlalu taksub dengan kecantikan

Posted by Ir on Friday, January 06, 2012

SAYA hanya ingin meluahkan perasaan yang berkecamuk ini. Saya berusia awal 20-an dan berkerja di sebuah syarikat swasta. Masalah saya mungkin remeh namun tetap membuatkan saya susah hati.

Sebenarnya saya selalu berasa rendah diri apabila melihat kecantikan orang lain dan keadaan semakin bertambah teruk sejak saya mula bekerja di tempat baru. Saya cukup terasa hati kerana pekerja lelaki di tempat ini seperti tidak menghiraukan kehadiran saya. Tapi apabila ada seorang wanita cantik yang datang ke pejabat, tumpuan mereka beralih.

Saya malu untuk menceritakan hal ini kerana tahu Tuhan menjadikan seseorang itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sekarang saya terlalu taksub untuk cantik hingga sanggup menghabiskan duit membeli produk kecantikan.

Saya juga berasa bersyukur kerana masih mempunyai seorang kekasih yang mencintai dan menerima saya seadanya. Saya cuba untuk tidak terlalu merendah diri tetapi masih gagal apabila melihat seseorang yang lebih cantik daripada saya. Bantulah saya kerana perasaan ini sangat mengganggu dan menyusahkan hidup saya.

INGIN CANTIK,

Kota Bahru, Kelantan

Dapatkan Chocolate Coconapilia free dan dicover KLMU untuk pelajar lepasan SPM.


ADIK tidak perlu berasa malu kerana memang lumrah manusia ingin kelihatan cantik. Fitrah manusia adalah suka kepada kecantikan. Sesuatu yang indah itu suka dilihat. Manusia juga secara psikologinya ingin dihargai. Apa yang menjadi permasalahan apabila adik terlalu taksub untuk menjadi cantik hingga sanggup berhabisan duit membeli produk kecantikan.

Bagi menjawab permasalahan adik iaitu terlalu taksub ingin menjadi seorang yang cantik, antara perkara perlu adik lakukan adalah mengetahui tujuan sebenar mengapa adik benar-benar ingin kelihatan cantik?

Tanya pada diri adik adakah ingin menjadi cantik untuk menarik perhatian dan memenuhi keperluan orang lain? Atau kecantikan itu adalah untuk kepuasan adik. Adakah adik berasa riak jika ditakdirkan cantik? Berasa riak atas kurniaan yang ada amat dilarang agama.

Individu yang ingin kelihatan cantik untuk orang lain sentiasa berasa tidak puas atas kecantikan yang dikurniakan. Ini kerana individu itu sentiasa ingin memuaskan hati orang lain tapi bukan dirinya. Bukan seorang, malah ramai orang. Ini menyukarkan keadaan.

Malah keadaan tanpa batasan berlaku hingga tiada noktah kepada definisi kecantikan. Apatah lagi, kecantikan bagi setiap individu adalah berbeza dan unik. Ini kerana citra dan tanggapan manusia terhadap kecantikan adalah mengikut keinginan tersendiri. Memandangkan seseorang tidak dapat pengesahan daripada orang lain sama ada dirinya cantik atau tidak, ini sentiasa membuatkan dirinya berterusan berusaha untuk memenuhi keperluan orang lain.

Ada ahli psikologi yang menyatakan diri kita adalah apa yang kita rasa dan lihat. Jika kita rasa kita cantik, maka cantiklah kita. Pemikiran mengawal tingkah laku dan emosi. Selain daripada berasa bersyukur atas wajah yang dikurniakan kepada adik, berasa cantik secara emosi adalah penting.

Rakan-rakan sepejabat pasti menghiraukan adik melalui ciri-ciri dan personaliti yang menyenangkan. Perhubungan rakan sekerja dibina atas banyak faktor, bukan hanya faktor kecantikan semata - mata. Jika adik dapat membina kekuatan perhubungan rakan sekerja atas ciri dan personaliti positif adik, tentunya ini lebih bermakna daripada mereka menerima adik semata-mata atas dasar kecantikan.

Kekasih mencintai adik atas sifat dan kekuatan adik tersendiri. Ini satu anugerah yang adik perlu hargai. Jika kekasih dapat menghargai adik, elok jika adik dapat menghargai diri sendiri. Menerima penghargaan orang dan menghargai diri sendiri boleh mengurangkan perasaan rendah diri.

Artikal dari Harian Metro, 6 Jan 2012